Tuesday, August 24, 2010

MERDEKA 31 OGOS 1957


 
                  malaysia-bendera-jalur-gemilang

Setiap negara mempunyai benderanya sendiri. Bendera adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara. Ia merupakan suatu simbol yang melambangkan identiti sesebuah negara. Penggunaan dan penghormatan ke atas bendera dapat meningkatkan semangat nasionalisme di kalangan rakyat.

Bendera Malaysia telah diberi nama JALUR GEMILANG oleh Tun Dr Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-4, pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan yang ke-40 di Dataran Merdeka.

JALUR – bermaksud 14 jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan hala tuju rakyat negara Malaysia dalam mencapai kegemilangan bangsa dan negara.

GEMILANG – bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. JALUR GEMILANG memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang dan jelas.

Saya amat tertarik dengan petikan yang pernah saya baca sebelum ini (dah lama save dalam file coz nak buat bahan ucapan tapi lupa sumber ni dapat dari mana). Jom kita kongsi artikel ni..baca dan hayati..
ERTI KEMERDEKAAN DARI PERSPEKTIF AGAMA ISLAM

Kemerdekaan menurut Islam ditakrifkan apabila seseorang, sesuatu bangsa atau umat mendapat kemerdekaan daripada penjajahan dalam segala bentuk, baik penjajahan lahir atau batin.
 
Umat yang merdeka dapat berfikir dengan bebas apa yang baik dilakukan untuk diri, bangsa atau untuk kepentingan umat seluruhnya tanpa khuatir kepada makhluk yang menghalangi, tiada yang ditakuti kecuali Allah SWT dan segala tindakannya berpandukan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.
 
Erti sebenar kemerdekaan bagi generasi muda pada masa kini semakin luntur serta tidak dihargai dan ia terbukti apabila berlakunya pelbagai kes membabitkan golongan itu seperti buli dan samseng selain lumba haram.
 
Erti kemerdekaan berbeza bagi setiap orang, bagi golongan veteran yang berjuang dengan darah dan air mata, ia sesuatu amat berharga apabila dapat bebas daripada penjajah tapi bagi golongan muda, mereka menganggap ia sebagai hari cuti umum.

Semua pihak haruslah mempertahankan kemerdekaan negara daripada anasir jajahan kuasa besar seperti menerusi tekanan ekonomi yang terselindung di sebalik bantuan kewangan sehingga menyebabkan beberapa negara kini bergantung harap kepada pihak terbabit.

Penjajahan pada masa sekarang datang dalam pelbagai warna, bentuk dan saiz walaupun sebelum ini mereka datang dengan kapal dan senjata.
 
Sekarang mereka masuk menerusi wayar kuprum, fiber optik serta satelit dan dengan adanya globalisasi dan dunia tanpa sempadan, lebih mudah untuk mereka mempengaruhi dan mengawal kuasa politik, ekonomi dan sistem sosial kita.

No comments:

Post a Comment